Israel masih sekat trak bantuan masuk ke Gaza
Dari 1,063 trak masuk, hanya 49 dihantar ke bahagian utara
GAZA, 18 Syawal 1445H, Sabtu – Pihak berkuasa di Gaza menyangkal dakwaan Israel dan sekutunya Amerika Syarikat (AS) bahawa kononnya kemasukan trak bantuan ke bahagian utara wilayah itu meningkat.
Ketua Pejabat Media Kerajaan, Salama Marouf berkata, daripada 1,063 trak bantuan yang memasuki Semenanjung Gaza, hanya 49 yang dihantar ke bahagian utara.
“Jumlah trak ini menyangkal kenyataan AS dan Israel mengenai peningkatan bilangan trak bantuan (ke utara Gaza) kerana mereka mendakwa kemasukan 300 trak bantuan setiap hari,” katanya.
Salama menegaskan bahawa rejim Israel masih menyekat kemasukan trak bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Beliau juga menggesa pembukaan semula semua sempadan dengan Gaza dan memudahkan kemasukan tidak kurang daripada 1,000 trak setiap hari untuk mengatasi krisis makanan di wilayah itu.
Selasa lalu, utusan khas AS untuk kemanusiaan Timur Tengah, David Satterfield mendakwa jumlah bantuan kemanusiaan yang sampai ke Gaza, terutama di utara adalah jauh lebih besar berbanding bulan sebelumnya.
Di bawah tekanan AS, Israel berjanji memudahkan lebih banyak akses bantuan termasuk membuka persimpangan Erez ke utara Gaza dan membenarkan penggunaan sementara pelabuhan Ashdod.- Agensi