Runtuhan bangunan di Gaza dijangka ambil masa 14 tahun untuk dialihkan

Perang Gaza sudah melebihi 200 hari akan tetapi kesudahan masih tidak dapat kita anggarkan.

Runtuhan bangunan di Gaza dijangka ambil masa 14 tahun untuk dialihkan

70,000 kediaman musnah sepenuhnya

ANKARA, 18 Syawal 1445H, Sabtu –¬† Runtuhan batu dan konkrit yang ditinggalkan kesan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza mungkin memakan masa 14 tahun untuk dialihkan, kata seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.

Pehr Lodhammar, seorang pegawai daripada Perkhidmatan Tindakan Periuk Api PBB (UNMAS) memberitahu satu taklimat di Geneva bahawa serangan Israel telah meninggalkan runtuhan yang dianggarkan seberat 37 juta tan dalam satu wilayah yang padat dengan penduduk, lapor Agensi Anadolu (AA).

Menurut Pejabat Media di Gaza, serangan Israel memusnahkan sebanyak 70,000 kediaman dan merosakkan 290,000 yang lain mengakibat rumah berkenaan tidak boleh diduduki.

Antara yang terjejas akibat serangan itu termasuk bangunan kerajaan, hospital, sekolah, masjid, gereja dan tempat bersejarah.

Israel telah menyerang Gaza sejak 7 Oktober lepas dan membunuh lebih daripada 34,000 penduduk Palestin.

Serangan rejim Israel itu mengakibatkan kebanyakan daripada 2.3 juta populasi di wilayah itu hilang tempat tinggal, kelaparan dan berisiko dijangkiti penyakit.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top