INFAQ AIR BERSIH UNTUK
PONDOK DARUSSAADAH
Pattani, Thailand
PROJEK PEMBINAAN SISTEM AIR BERSIH YANG BERSISTEMATIK
B-Humanity dengan Kerjasama Pertubuhan Ihsan Madani (Malaysia) serta Himpunan Masyarakat Sipil Untuk Kedamaian (Selatan Thailand) sedang menggerakkan satu Projek Infaq dan Waqaf Air. Air merupakan sumber utama kehidupan bagi apa sahaja hidupan di muka bumi ini. Semasa tinjauan dan jelajah Tim B-Humanity ke lapangan, kami mendapati banyak Masjid/Surau/Pondok Tahfiz/ Madrasah mengalami masalah air yang sangat teruk.
B-Humanity bersama rakan NGO berhasrat untuk meneruskan projek air yang telah siap kami laksanakan sebelum ini, untuk dibawa kedepan bagi dilaksanakan di Masjid/Surau/Pondok Tahfiz/ Madrasah yang lain.
Gambar dari atas menunjukkan keseluruhan kawasan Pondok Darussaadah Jembaliyah meliputi Kelas Pengajian, Asrama Pelajar, Telaga Air dan Rumah Mudir.
APA MASALAH YANG MEREKA HADAPI?
Pondok Darussaadah Jembaliyah, Kg Cemar terletak di Wilayah Patani, Selatan Thailand. Kawasan pondok ini difahamkan setiap tahun ketika musim tengkujuh akan dilanda banjir besar sehingga pondok asrama tenggelam sepenuhnya, tempat pengajian dan surau tenggelam separuh. Apa yang menyedihkan lagi, telaga air mereka turut ditenggelami air sehingga tidak kelihatan lagi dan terputuslah bekalan air telaga mereka.
Ketika musim kemarau setiap tahun, mereka akan mengalami masalah kekurangan air sehingga ada waktunya telaga air mereka kering. Masalah ini berlanjutan kadang kala mengambil masa 2 hingga ke 3 bulan lamanya.
Beginilah cara mereka menyimpan air yang mana sebelum mereka tinggal diasrama, mereka akan mengisi puluhan botol air bersih untuk simpanan mereka ketika menetap dipondok tersebut.
Air yang mereka simpan juga menjadi sumber utama mereka minum dan memasak bagi aktiviti seharian mereka. Adakalanya jika terpaksa, mereka akan gunakan air kolah yang ditadah daripada sumber air telaga tersebut untuk kegunaan memasak dan lain-lainnya.
Melihat kepada kualiti air, air telaga mereka tidak bertapis dan mempunyai lapisan minyak yang mana bila mereka gunakan untuk membasuh baju, pakaian mereka akan bertukar menjadi kekuningan.
Telaga air mereka tidak sedalam yang disangka kerana pada awalnya mereka hanya dapat menggali telaga air berkenaan tidak jauh kedalam atas faktor kekurangan dana bagi menyewa kelengkapan jentera dan peralatan menggali yang lebih dalam.
KENAPA KITA PERLU BANTU PONDOK TAHFIZ INI?
Pondok tahfiz ini sangat dhaif yang mana rata-rata pelajar pondok disini terdiri daripada keluarga asnaf dan fakir miskin. Ada juga dikalangan mereka yang berstatus yatim / yatim piatu. Selain itu, Mudir Pondok juga tidak mengenakan sebarang caj / yuran pengajian kepada pelajar yang ingin belajar disana.
Pelajaran yang ditekankan disini adalah pengajian kitab kuning yang mana ia pengajian utama disamping mereka diberi pendedahan tentang pendidikan berteraskan sistem pendidikan kerajaan seperti bahasa kebangsaan, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan lain-lain.
Anak-anak pengajian disini juga diwajibkan untuk menunaikan setiap solat 5 waktu di surau pengajian bagi mendisiplinkan mereka dan patuh pada perintah Allah.
USAHA MENGGERAKKAN PROJEK WATER 4 JANNAH @ SISTEM AIR BERSIH
Pondok Darussaadah sangat memerlukan projek penambahbaikan sistem bekalan air bersih diatas kekangan dana dan sebab-sebab yang dinyatakan diatas.
Oleh itu, B-Humanity telah bertemu dengan Mudir Madrasah berkenaan mengambil inisiatif dengan menggali telaga baru yang lebih dalam untuk mendapatkan sumber air tambahan daripada sumur yang aktif dan mengeluarkan banyak air. Selain perlunya penapis air dan tangki simpanan yang besar untuk memberi manfaat bukan sahaja penggunaan Jemaah Masjid dan Pusat Tahfiz, malah ia juga dapat memberi manfaat kepada komuniti kampung yang terkesan disana.